Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan, Fahmi Fadzil ketika berucap dalam satu program di Batu Pahat malam tadi.
BATU PAHAT: Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil menasihatkan pengundi supaya berwaspada terhadap dengan penyebaran fitnah dan maklumat palsu yang dijangka meningkat menjelang hari pengundian PRN Johor Sabtu ini.
Beliau berkata, orang ramai perlu menyemak kesahihan setiap maklumat yang diterima dan merujuk kepada media arus perdana sekiranya timbul sebarang keraguan.
“Saya nak pesan dalam tempoh yang berbaki lebih kurang 36 jam (sebelum hari mengundi) kita akan berdepan macam-macam berita fitnah, macam-macam berita palsu. Macam-macam benda yang tidak betul.
“Saya mohon semua pastikan anda mendapat maklumat dari sumber sahih. Kalau nak sumber sahih, rujuk media arus perdana sekiranya meragui kesahihan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada ceramah Grand Finale Harapan DUN Senggarang yang turut dihadiri Pengerusi PH Anwar Ibrahim.
Fahmi turut menyeru pengundi Johor supaya memilih parti yang seiring dengan pentadbiran peringkat persekutuan pimpinan Anwar bagi memastikan urusan pentadbiran negara berjalan dengan baik.
“Sebab itu perlu ada kepimpinan di Johor yang selari, seiring dengan perdana menteri.
“Kalau mahu masa depan lebih baik untuk Johor, untuk negara kita, Sabtu ini kita tak ada pilihan lain, mesti undi PH,” katanya.


