Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali, berkata keputusan tawaran penyelesaian di bawah pindaan akta wajib dibuat secara kolektif Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).
KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali mempertahankan cadangan pemberian diskaun penalti sehingga 40% kepada syarikat melanggar undang-undang persaingan, sambil menegaskan ia tertakluk penilaian ketat.
Katanya, kadar maksimum itu tidak akan diberikan secara sewenang-wenangnya, sebaliknya ia sebahagian rejim tawaran penyelesaian untuk mengelakkan kes diheret berpanjangan.
Beliau berkata, keputusan tawaran penyelesaian di bawah pindaan akta tersebut wajib dibuat secara kolektif oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), bukannya atas budi bicara mana-mana individu ahli suruhanjaya.
“Kita akan melihat kepada beratnya sesuatu kes. MyCC yang beroperasi sejak 2010 memerlukan peningkatan kapasiti, dan tawaran ini dibuka bagi mengelakkan pihak terbabit daripada mengheret kes ke peringkat tribunal dan proses selanjutnya selepas keputusan pelanggaran diperoleh,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Persaingan (Pindaan) di Dewan Rakyat.
Mengulas lanjut, beliau berkata pemberian diskaun itu akan dipandu beberapa kriteria ketat, termasuk impak kes terhadap orang awam dan perusahaan lain, serta kuantiti dan nilai kerjasama diberikan pihak syarikat sepanjang siasatan.
Tambahnya, faktor kecekapan prosedur, penjimatan sumber suruhanjaya, serta komitmen syarikat terhadap pematuhan berterusan turut menjadi asas pertimbangan.
“Di Singapura, tawaran penyelesaian diberikan sehingga 30%, United Kingdom (20%), Kesatuan Eropah (20% hingga 30%), India (15%), New Zealand (20%), manakala Hong Kong menawarkan sehingga 50%,” katanya.
Terdahulu, beberapa Ahli Parlimen termasuk Lim Lip Eng (PH-Kepong) menuntut kerajaan mengkaji semula cadangan pindaan Akta Persaingan 2010 kerana membenarkan potongan penalti sehingga 40% kepada syarikat penyeleweng.
Katanya, potongan itu juga boleh ditambah dengan pengurangan lain di bawah sistem linear C, sekali gus memberi gambaran salah bahawa kesalahan persaingan boleh diselesaikan pada ‘harga murah’.


