Ketua Polis Alor Gajah, Ahmad Abu Bakar, berkata tiada kecederaan dilapor selepas seorang guru berjaya pujuk suspek melepaskan pisau pemotong kertas dipegang. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Tiga pelajar dikejar seorang pelajar Tingkatan Satu dengan pisau pemotong kertas akibat berang dibuli dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah, semalam.
Ketua Polis Alor Gajah, Ahmad Abu Bakar berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku sekitar 2.50 petang ketika sesi kokurikulum bagi program penghargaan kehadiran pelajar sedang berlangsung di dewan terbuka sekolah itu.
Katanya, dua pelajar lelaki berusia 13 dan 14 tahun dipercayai berulang kali membaling ais ke arah suspek.
“Akibat tidak dapat menahan kemarahan, suspek mengeluarkan pisau pemotong kertas dari dalam bekas pensilnya, sebelum mengejar salah seorang daripada mangsa sejauh kira-kira 50m hingga ke kawasan surau sekolah.
“Dua lagi pelajar yang berada bersama mangsa turut melarikan diri kerana bimbang menjadi sasaran. Kejadian itu turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sekolah,” katanya menurut Harian Metro.
Ahmad berkata, pelajar yang melakukan serangan itu dilaporkan sedang menerima rawatan di Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Melaka dengan sesi rawatan terakhir direkodkan pada 3 Jun, selain pihak sekolah sedia maklum mengenai situasinya.
Beliau berkata, kejadian tidak diingini berjaya dikekang apabila seorang guru bertindak pantas memujuk suspek untuk melepaskan pisau dipegang
“Tiada pelajar atau guru yang cedera. Keluarga pelajar itu kemudian dipanggil ke sekolah sebelum pelajar itu dibawa pulang.
“Siasatan juga mendapati semua pelajar yang terbabit mempunyai rekod salah laku disiplin sejak awal sesi persekolahan tahun ini,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.


