Majlis Media Malaysia berkata aduan terhadap wartawan perlu melalui proses semakan yang memahami konteks kerja kewartawanan, peranan media dalam demokrasi, serta tanggungjawab media kepada orang awam.
PETALING JAYA: Majlis Media Malaysia (MMM) berkata gesaan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim supaya aduan yang melibatkan wartawan dirujuk terlebih dahulu kepada majlis itu sebelum sebarang tindakan lanjut diambil bukan bertujuan melindungi wartawan.
MMM berkata kenyataan Anwar merupakan pengiktirafan penting terhadap peranan majlis sebagai badan kawal selia kendiri yang bebas untuk industri media, selaras dengan mandat untuk memperkukuh kebebasan media, meningkatkan piawaian kewartawanan, menggalakkan etika media yang bertanggungjawab, serta menyediakan mekanisme aduan yang adil dan bebas.
“Wartawan dan organisasi media tetap tertakluk kepada undang-undang tetapi tindakan terhadap wartawan tidak wajar dibuat secara automatik hanya kerana terdapat aduan daripada mana-mana pihak.
“Aduan sedemikian perlu melalui proses semakan yang memahami konteks kerja kewartawanan, peranan media dalam demokrasi, serta tanggungjawab media kepada orang awam,” katanya dalam satu kenyataan.
MMM berkata aduan yang diterima akan disemak terlebih dahulu oleh sekretariat bagi memastikan ia berada dalam bidang kuasa majlis itu dan melibatkan isu kewartawanan atau amalan media.
Katanya, sekiranya aduan sesuai untuk diproses, MMM boleh merujuk perkara berkenaan kepada organisasi media yang terlibat untuk mendapatkan maklum balas, penjelasan atau tindakan pembetulan.
“Mekanisme ini bukan bertujuan melindungi media daripada akauntabiliti. Sebaliknya, ia diwujudkan untuk memastikan akauntabiliti media dilaksanakan melalui proses yang betul, bebas, telus dan seimbang.
“Kebebasan media dan tanggungjawab media tidak boleh dilihat sebagai dua perkara yang bertentangan sebaliknya diperkukuh bersama,” katanya.
Semalam, Anwar beritahu Dewan Rakyat bahawa aduan terhadap wartawan daripada organisasi media tidak lagi membawa kepada siasatan atau tindakan penguatkuasaan secara automatik, sebaliknya perlu dirujuk terlebih dahulu kepada MMM.
Beliau berkata mekanisme itu diwujudkan bagi memastikan sebarang tindakan terhadap pengamal media dibuat secara lebih adil, telus dan bebas, sekali gus mengelakkan wartawan diheret ke dalam siasatan atau pendakwaan tanpa penelitian sewajarnya.


