Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pengenalan jawatan penyelaras bertujuan memperkukuh aspek keselamatan fizikal, sosial, dan emosi warga sekolah melalui pendekatan lebih menyeluruh.
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) menyasarkan pelantikan sekurang-kurangnya seorang penyelaras keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) terlatih di setiap sekolah bagi memastikan pengurusan risiko di institusi pendidikan dijalankan secara lebih sistematik.
Menteri Fadhlina Sidek berkata, langkah itu sebahagian strategi baharu bawah garis panduan pengurusan sekolah selamat dan polisi perlindungan murid yang dilancarkan pada 11 Jun lalu.
Katanya, pengenalan jawatan penyelaras itu bertujuan memperkukuh aspek keselamatan fizikal, sosial, dan emosi warga sekolah melalui pendekatan lebih menyeluruh.
“Komitmen ini dilaksanakan merangkumi lima fokus utama iaitu pencegahan, pemantauan, pelaporan, intervensi, dan penguatkuasaan, dengan sokongan strategik merentas kementerian serta agensi berkaitan,” katanya ketika waktu pertanyaan-menteri di Dewan Rakyat.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata Jawatankuasa Khas Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan yang ditubuhkan sejak Ogos tahun lalu kini aktif meneliti dan menambah baik dasar keselamatan sedia ada mengikut acuan keperluan sebenar di lapangan.
Katanya, jawatankuasa itu dianggotai pelbagai pihak berkepentingan seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef), dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).
“Kepakaran NIOSH pula bagi memastikan isu berkaitan (keselamatan) bangunan, longkang dan kebakaran. Mereka juga memberi latihan dan bimbingan sepenuhnya untuk memastikan di peringkat sekolah ada penyelaras keselamatan diwujudkan,” katanya.
Beliau menjawab Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) mengenai tahap keselamatan murid di sekolah seluruh negara termasuk langkah diambil bagi memastikan persekitaran sekolah kekal selamat dan bebas risiko kemalangan, buli serta ancaman lain.
Sebelum ini, beberapa pakar menggesa langkah itu diambil KPM susulan kes kemalangan di sekolah dari semasa ke semasa, yang disifatkan selari kehendak perundangan bawah Seksyen 29A, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514).


