Kepercayaan terhadap institusi politik dan kerajaan main peranan bagaimana pengundi muda menilai maklumat selain tahap celik media, politik dan ekonomi.
PETALING JAYA: Membina kepercayaan rakyat sambil memperkukuh literasi menjadi cabaran yang harus ditangani serentak, di sebalik keluhan ahli politik berhubung pengundi muda dipengaruhi sentimen atau kandungan tular.
Pengarah Pusat Penyelidikan Dasar di Universiti Sains Malaysia, Azeem Fazwan Ahmad Farouk, berkata kepercayaan terhadap institusi politik dan kerajaan memainkan peranan bagaimana pengundi muda menilai maklumat, selain tahap celik media, politik, dan ekonomi.
“Walaupun seseorang mempunyai tahap literasi yang baik, mereka mungkin tetap bersikap sinikal jika kepercayaan terhadap institusi politik dan kerajaan semakin merosot akibat persepsi terhadap rasuah, ketidakcekapan atau kegagalan menunaikan janji,” katanya kepada FMT.
Azeem berkata, naratif ringkas, sentimen dan personaliti sering memberi pengaruh lebih besar berbanding perbahasan dalam landskap media sosial yang pantas.
“Ramai pengundi muda mungkin membuat penilaian awal berdasarkan persepsi dan sentimen sebelum meneliti dasar yang sebenar,” katanya.
Mengulas lanjut tentang literasi, Azeem berkata ramai anak muda mempunyai kemahiran digital yang tinggi dan mampu mengakses pelbagai sumber maklumat, namun itu tidak semestinya diterjemahkan kepada pemahaman terhadap isu dasar yang kompleks.
“Untuk memahami isu seperti inflasi, subsidi, percukaian, pelaburan atau reformasi institusi, seseorang memerlukan pengetahuan asas tentang ekonomi, pentadbiran awam dan sistem politik,” katanya.
Pada 13 Jun lalu, Ketua Pemuda PKR, Kamil Munim, menggesa pengundi muda meningkatkan literasi politik agar setiap undi diberikan berlandaskan ilmu dan kefahaman, bukannya dipengaruhi sentimen atau kandungan tular di media sosial.
Beliau berkata, generasi muda tidak seharusnya menilai kebenaran sesuatu maklumat berdasarkan jumlah tanda suka, perkongsian atau populariti sesuatu kandungan semata-mata.
Kamil turut menggesa golongan itu membudayakan sikap meneliti maklumat, memahami dasar yang ditawarkan serta menilai rekod dan keupayaan pihak yang bertanding sebelum membuat keputusan dalam pilihan raya.
Pensyarah kanan di Universiti Putra Malaysia, Nor Azura Adzharuddin, berkata generasi muda mampu membezakan maklumat, propaganda politik dan kandungan yang bertujuan meraih emosi sekiranya diberi pendedahan dan pendidikan yang sesuai.
Katanya, bagaimanapun perhatian pengguna media sosial sering tertumpu kepada isu tular dan kontroversi.
“Maklumat ada tetapi kurang berjaya sampai kepada generasi muda kerana mereka tidak merasakan ada hubungan atau relevan dengan maklumat yang dikongsikan.
“Selain itu, kupasan isu sering dilihat membosankan, tidak kreatif dan tidak menarik perhatian mereka,” katanya.
Menurut Azura, isu kompleks seperti ekonomi, kos sara hidup dan dasar kerajaan boleh disampaikan dengan berkesan jika menggunakan pendekatan yang sesuai dengan tabiat penggunaan media mereka.
“Generasi muda lebih terdedah dan terpengaruh dengan maklumat yang disampaikan melalui media sosial kerana platform ini lebih dekat di hati mereka.
“Namun, maklumat itu perlu ringkas, padat dan disampaikan secara kreatif supaya sesuai dengan penerimaan mereka,” katanya.

![[Time Trowel] Graduation: No one gets there alone](https://www.rappler.com/tachyon/2026/06/TL-GRADUATION-JUN-20-2026.jpg)
