Peserta melaungkan slogan ketika menyertai protes keluarga individu hilang menjelang pembukaan Piala Dunia di Mexico City pada Rabu lalu. (Gambar EPA Images)
MEXICO CITY: Seramai 19 penunjuk perasaan ditahan susulan demonstrasi ketika pembukaan Piala Dunia di sini, lapor Anadolu Ajansi.
Ibu negara Mexico itu menyaksikan protes besar-besaran di seluruh bandar raya berkenaan ketika skuad kebangsaan memulakan kempen Piala Dunia. Guru, kesatuan pekerja, pelajar, keluarga individu hilang, kumpulan feminis dan organisasi pro-Palestin menyertai demonstrasi terbabit.
Mobilisasi itu menarik ribuan peserta ke laluan utama, khususnya di daerah selatan dan sepanjang jalan utama menghubungkan bahagian lain ibu negara itu ke stadium yang menjadi lokasi perlawanan pembukaan. Sebagai tindak balas, pihak berkuasa mengerahkan 56,320 anggota keselamatan.
“Perlu dimaklumkan semasa perlawanan Mexico dan Afrika Selatan, demonstrasi berlaku di kawasan sekitar stadium dan sekumpulan individu bertopeng membaling bunga api, batu serta objek lain ke arah pegawai polis.
“Pegawai polis berjaya menghalang mereka daripada mara ke stadium, sebelum menyuraikan kumpulan itu,” menurut kenyataan Sekretariat Keselamatan Rakyat Mexico City (SSC).
Pihak berkuasa pada awalnya menahan lapan individu pada Khamis, kebanyakannya pelajar, selain dua jurugambar media. Semua dibebaskan kemudian.
Menurut SSC, 11 pegawai polis cedera ketika demonstrasi itu dan menerima rawatan perubatan.
