Daftar pemilih kini dikemas kini setiap bulan sekali gus membolehkan pertukaran alamat mengundi diproses lebih cepat.
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggalakkan pengundi yang berpindah tempat tinggal agar menukar alamat mengundi ke kawasan tempat mereka bermastautin bagi memastikan wakil rakyat yang dipilih benar-benar mewakili komuniti setempat.
Timbalan Pengerusi Azmi Sharom berkata sistem demokrasi berasaskan kawasan pilihan raya, justeru pengundi sewajarnya memilih Adun atau Ahli Parlimen yang mewakili kawasan tempat tinggal mereka.
“Undilah di tempat kita bermastautin. Bukan sahaja lebih mudah untuk kita, malah sistem kerajaan kita berasaskan seorang Adun atau Ahli Parlimen yang mewakili penduduk di kawasan itu.
“Kalau kita tinggal di kawasan tersebut, kitalah yang sepatutnya menentukan siapa yang mewakili kita, bukannya mengundi di kawasan yang terletak ratusan kilometer dari tempat kita tinggal,” katanya ketika menjadi tetamu pada program Fokus 30 terbitan Bernama Radio.
Beliau berkata pengundi perlu terlebih dahulu mengemas kini alamat pada kad pengenalan sebelum membuat pertukaran alamat mengundi yang kini boleh dilakukan secara dalam talian.
Azmi berkata daftar pemilih kini dikemas kini setiap bulan sekali gus membolehkan pertukaran alamat mengundi diproses lebih cepat berbanding sebelum ini yang dibuat setiap tiga bulan.
Beliau tidak menolak faktor sentimental terhadap kampung halaman mungkin menyebabkan sebahagian pengundi enggan menukar alamat mengundi, namun menegaskan langkah itu penting bagi memastikan sistem perwakilan kawasan berfungsi dengan lebih berkesan.
Berhubung PRN Johor dan Negeri Sembilan, beliau berkata persiapan bagi PRN Johor yang akan berlangsung pada 11 Julai ini hampir selesai dan kini hanya melibatkan penyediaan logistik akhir.
Persiapan bagi PRN Negeri Sembilan pula masih di peringkat awal memandangkan proses penamaan calon belum berlangsung dan urusan seperti pencetakan kertas undi masih belum dilaksanakan.
Azmi berkata SPR menghargai komitmen petugas pilihan raya yang memainkan peranan penting dalam memastikan proses pengundian berjalan lancar, dengan lebih 43,000 petugas ditugaskan bagi PRN Johor manakala lebih 15,000 bagi PRN Negeri Sembilan.


