Hasnul Hakimi Hussein dan Jati Awang terbabit pertandingan empat penjuru di DUN Endau pada PRN Johor, Sabtu ini.
MERSING: Dua calon bukan daripada gabungan kerajaan di DUN Endau tampil membawa keutamaan berbeza sepanjang kempen PRN Johor.
Calon Perikatan Nasional (PN) Hasnul Hakimi Hussein memfokuskan isu infrastruktur manakala calon Parti Orang Asli Malaysia (Asli) Jati Awang mengangkat tuntutan berkaitan hak tanah adat.
Menurut Hasnul, dalam siri kempennya antara aduan banyak diterima membabitkan keadaan jalan raya menyebabkan banyak kemalangan, keperluan jalan pintasan serta masalah haiwan ternakan berkeliaran sehingga mengancam keselamatan pengguna.
“Semua perkara ini akan dibawa ke peringkat kerajaan negeri supaya tindakan sewajarnya dapat diambil,” katanya kepada FMT.
Beliau juga akan memfokuskan untuk mengembangkan sektor pelancongan dan perikanan di Endau.
“Bagi melakukannya kemudahan di kawasan rekreasi seperti Pantai Penyabong dan Pantai Tanjung Resang perlu ditambah baik.
“Industri perikanan tempatan perlu dipromosikan bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk,” katanya.
Jati pula berkata, pencalonannya membawa suara masyarakat Orang Asli yang menurutnya sudah lama menuntut penyelesaian terhadap isu tanah adat.
Katanya, isu utama dibangkitkan penduduk di kampung Orang Asli ialah pewartaan tanah rizab yang masih belum diselesaikan sehingga menyebabkan kawasan penempatan tradisi terdedah kepada pencerobohan.
“Banyak kawasan telah didiami sejak turun-temurun masih belum diwartakan sebagai tanah rizab Orang Asli.
“Apabila tidak diwartakan, ia mudah dicerobohi dan menimbulkan pelbagai masalah kepada komuniti,” katanya yang turut menerima aduan berkaitan bekalan air bersih, pendidikan dan kemudahan kesihatan.
DUN Endau menyaksikan pertandingan empat penjuru yang turut membabitkan penyandang Alwiyah Talib daripada Barisan Nasional (BN) dan Saiful Nizam Samat mewakili Pakatan Harapan (PH).


