Lee Wern Yiing daripada DAP membidas Onn Hafiz Ghazi kerana mengkritik dasar subsidi bahan api kerajaan tanpa mengemukakan cadangan alternatif.
JOHOR BAHRU: Seorang calon Pakatan Harapan (PH) mencabar Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor Onn Hafiz Ghazi mengemukakan cadangan lebih baik sekiranya beliau tidak bersetuju dengan mekanisme subsidi bersasar bahan api dilaksanakan kerajaan persekutuan.
Calon DAP bagi kerusi Johor Jaya, Lee Wern Yiing, mengecam menteri besar Johor itu kerana mengkritik dasar berkenaan tanpa menawarkan sebarang alternatif.
Beliau berkata, kerajaan terbuka menerima cadangan membina bagi menambah baik pelaksanaan subsidi bersasar.
“Jika beliau ada cadangan lebih baik, saya seru beliau kemukakannya.
“Subsidi bersasar bukan sahaja bertujuan memastikan bantuan sampai kepada mereka yang paling memerlukan, tetapi juga membantu mengurangkan defisit fiskal negara,” katanya pada sidang media.
Lee berkata, mengekalkan subsidi pukal tanpa had masa akan terus membebankan kewangan kerajaan, justeru pembaharuan perlu dilakukan bagi memastikan dana awam digunakan dengan lebih berkesan.
Semalam, Onn Hafiz dilaporkan Oriental Daily menggesa Putrajaya memansuhkan had bulanan bagi subsidi bahan api bersasar, dengan alasan jumlah yang diperuntukkan tidak mencukupi manakala kuota diesel pula meningkatkan kos perniagaan.
Beliau turut mengkritik keputusan kerajaan melaksanakan e-invois dan mewajibkan majikan mencarum 2% daripada gaji bulanan pekerja asing ke dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Sementara itu, calon PH bagi kerusi Stulang, Andrew Chen, mengingatkan ketua Umno Johor itu bahawa partinya sebahagian daripada kerajaan persekutuan, sekali gus turut memikul tanggungjawab terhadap dasar yang diluluskan Kabinet.
“Jika Onn Hafiz mempunyai pandangan berbeza mengenai mana-mana dasar ini, saluran yang betul ialah melalui kepimpinan parti dan menteri Umno dalam Kabinet.
“Mengapa hanya apabila pilihan raya semakin hampir, dasar dipersetujui bersama dijadikan bahan kempen politik sehingga memberi gambaran seolah-olah Umno tiada peranan dalam membuat keputusan itu?” katanya.


