Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata syarikat di Singapura sudah dimaklumkan mengenai PRN Johor dan diminta memberi kelonggaran kepada pekerja dari Malaysia pulang mengundi Sabtu ini.
PETALING JAYA: Anwar Ibrahim tidak bercadang menghubungi Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong untuk meminta kelonggaran kepada rakyat Malaysia pulang mengundi pada PRN Johor Sabtu ini.
“Hubungan kita dengan Singapura sangat baik dan ini bantu membangunkan kedua-dua negara.
“Saya selalunya tidak minta negara lain campur urusan (Malaysia), termasuk pengundian di negara kita,” katanya menjawab soalan tambahan Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) sama ada beliau akan menghubungi rakan sejawatannya di Singapura supaya rakyat Malaysia di negara itu dibenarkan pulang mengundi Sabtu ini.
Perdana menteri bagaimanapun berkata, syarikat di Singapura sudah dimaklumkan mengenai PRN Johor dan diminta memberi kelonggaran kepada pekerja dari Malaysia pulang mengundi pada Sabtu ini.
Sementara itu, Anwar berkata, kenyataannya supaya anak perantau Johor, khususnya di Singapura pulang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada PRN Johor bukan teguran buat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Jelasnya, sebagai badan bebas, SPR berhak membuat keputusan sendiri.
“Yang bekerja di Singapura ramai. Sabtu ramai kerja sekerat hari. Sebaiknya Ahad. Pandangan peribadi saya kurang setuju kerana saya rasa apa juga harus dilakukan untuk galakkan orang mengundi. Teguran itu bukan campur tangan. Kalau campur tangan lain keadaannya.”
Ahad lalu, Anwar dalam ceramah mega Pakatan Harapan di Ledang mempersoalkan tarikh PRN Johor pada pertengahan bulan yang berisiko menyukarkan pengundi luar negeri atau negara pulang mengundi.
Peratusan keluar mengundi pada PRN lazimnya rendah, justeru beliau menyeru penyokong dan pengundi PH di luar Johor, termasuk Singapura supaya pulang mengundi.


