Timothy Tiah percaya organiasi yang menerima AI lebih awal berpeluang cerah untuk berjaya. (Moganraj Villavan @ FMT Lifestyle)
KUALA LUMPUR: Menurut usahawan Timothy Tiah, sebab Free Malaysia Today (FMT) terus berkembang adalah mudah – portal berita itu mengenal pasti perubahan tabiat pengguna dan menyesuaikan diri lebih awal berbanding kebanyakan pesaingnya.
“Anda berjaya kerana anda berkembang dengan sangat pantas. Anda melihat kemunculan video berformat pendek untuk berita, penceritaan dan kandungan penerangan, kemudian anda terus memanfaatkannya,” katanya kepada FMT dalam satu wawancara baru-baru ini.
“Sedangkan yang lain (pesaing) agak perlahan. Malah, ramai daripada mereka masih belum melakukannya.”
Tiah, 42, menghabiskan sebahagian besar kerjayanya membina perniagaan yang berteraskan perubahan tingkah laku pengguna. Sebagai pengasas Nuffnang, beliau menyaksikan perubahan besar dalam landskap digital, daripada kebangkitan blog dan media sosial sehinggalah kepada revolusi kecerdasan buatan (AI).
Timothy Tiah berkata, teknologi AI secara asasnya akan membentuk semula penciptaan kandungan, mengurangkan kos produksi sekali gus meningkatkan hasil serta keuntungan. (Gambar Vecteezy)
Hari ini, ketika AI mengubah pelbagai industri di seluruh dunia, beliau percaya industri media sedang berada pada titik perubahan yang penting.
“Saya percaya AI akan mengubah segala-galanya bagi syarikat media,” katanya.
Berbeza dengan tanggapan bahawa industri itu bakal suram, Tiah berpendapat cabaran terbesar bukanlah kemerosotan jumlah pembaca atau penyusutan pendapatan.
Sebaliknya, beliau melihat AI sebagai teknologi yang mampu mengubah secara asas cara kandungan dihasilkan.
“Disebabkan AI, kos menghasilkan kandungan akan menjunam, jika ia belum berlaku lagi.”
Tiah, yang kini mengendalikan dua jenama ruang kerja bersama Colony da Jerry, juga merupakan pencipta kandungan yang sering mengulas isu politik dan semasa.
“Apa yang saya lakukan sekarang, menghasilkan empat kandungan sehari, saya tidak mempunyai pasukan. Hanya saya dan beberapa pekerja bebas. Perkara ini mustahil dilakukan sebelum adanya AI,” katanya.
“Saya tidak mungkin dapat membuat penyelidikan kandungan dan segala-galanya serentak, tetapi AI melakukannya. Ia benar-benar akan mengurangkan kos penghasilan kandungan.”
Bagaimanapun, beliau juga menegaskan bahawa kos penghasilan kandungan yang lebih rendah tidak semestinya menjamin kejayaan.
Apabila AI membantu memudahkan menghasilkan kandungan, semakin ramai individu akan mampu mencipta kandungan berbanding sebelum ini. Cabaran sebenar ialah bagaimana untuk menonjol dalam landskap yang semakin sesak dengan pelbagai kandungan.
“Saya banyak menggunakan AI, tetapi mengapa orang lain tidak dapat menghasilkan keputusan yang sama seperti saya? Ini kerana terdapat teknik dan kemahiran tertentu dalam menggunakan AI, termasuk menghasilkan skrip, mencipta daya penarik dan sebagainya.”
Pada pandangan Tiah, organisasi yang berani bereksperimen akan menjadi yang pertama melakukannya.
“Kuncinya ialah sejauh mana sesebuah organisasi menerima pakai AI dan sejauh mana mereka menggunakannya dengan berkesan,” katanya.
Bagi syarikat media yang memikirkan langkah seterusnya, nasihat Tiah adalah mudah: Pantas suaikan diri, terus belajar dan melihat AI bukan sebagai ancaman, tetapi sebagai alat.
“Mereka yang berjaya ialah mereka yang tahu bagaimana menggunakannya, dan saya percaya margin keuntungan akan meningkat dengan sangat ketara.”


