Puad Zarkashi menyertai kempen PH di di Felda Ulu Tebrau yang turut dihadiri Pengerusinya Anwar Ibrahim. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Bekas ahli majlis kerja tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi membidas sindiran yang mencadangkannya menyertai DAP kerana berkempen untuk Pakatan Harapan (PH) pada PRN Johor 11 Julai depan.
Merujuk serangan bekas rakan MKT Razlan Rafii itu, Puad berkata kenyataan seperti itu mencerminkan pemikiran sempit segelintir pemimpin Umno yang masih bergantung kepada naratif lama dengan mengaitkan mana-mana pihak dengan DAP.
“Masih mengamal politik bawah tempurung. Mereka (pemipin Umno) ingat dengan mengaitkan sesiapa sahaja dengan DAP maka Umno akan dapat sokongan orang Melayu?,” katanya di Facebook
Sejak mengisytiharkan keluar Umno pada 25 Jun lalu, Puad menyerang bekas partinya itu antaranya dengan mendakwa ia tidak mempunyai autonomi untuk membuat keputusan.
Beliau turut mempersoalkan pemilihan calon BN pada PRN Johor termasuk keputusan untuk mencalonkan bekas Adun Bersatu Alwiyah Talib di kerusi DUN Endau.
Bekas Adun Rengit itu turut menyokong calon PH bagi kerusi berkenaan Mohamad Yazid Bakri. BN mencalonkan Mohd Zaidi Japar untuk mempertahankan kerusi itu.
Puad juga hadir ke kempen di Felda Ulu Tebrau untuk menyokong calon PH Maszlee Malik yang dihadiri Pengerusinya Anwar Ibrahim, malam tadi.
Susulan itu, Razlan yang juga setiausaha politik Presiden Umno Zahid Hamidi menyindir Puad dan mencadangannya menyertai DAP.
Puad turut mempertahankan tindakannya itu dan menjelaskannya hadir sebagai penyokong kerajaan perpaduan.
Beliu menegaskan PH dan Barisan Nasional (BN) kini berada dalam kerajaan yang sama di peringkat persekutuan.
“Maka tidak salah saya naik pentas PH,” katanya.


