Amir Hamzah Azizan berkata kerajaan memahami cabaran penduduk pedalaman yang menggunakan kenderaan diesel untuk urusan harian.
PETALING JAYA: Kerajaan bersedia meneliti mekanisme kuota subsidi diesel yang lebih sesuai untuk pedalaman Sabah, terutama bagi penduduk bergantung kepada kenderaan diesel sebagai pengangkutan utama.
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata kerajaan terbuka menambah baik pelaksanaan subsidi diesel bersasar, namun sebarang mekanisme baharu perlu dibuat dengan kerjasama erat kerajaan negeri.
Katanya, kerajaan memahami cabaran penduduk pedalaman yang menggunakan kenderaan diesel untuk urusan harian, termasuk pengangkutan penumpang dan membawa barangan.
“Perkara paling penting ialah kita memerlukan kerjasama daripada kerajaan negeri,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian selepas satu majlis di Papar, Sabah.
Amir Hamzah berkata, bagi kenderaan diesel digunakan untuk tujuan perniagaan seperti pengangkutan penumpang atau barangan, pengusaha boleh memohon kuota lebih tinggi menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Beliau berkata penggunaan kad fleet membolehkan kuota diesel dinilai mengikut keperluan operasi perniagaan masing-masing.
Katanya, bagi penggunaan persendirian, kuota asas ditetapkan 200 liter sebulan, dengan tambahan sehingga 100 liter melalui permohonan di bawah program Budi Diesel.
Bagaimanapun, beliau berkata kenderaan seperti kereta sewa atau kereta tambang di kawasan pedalaman boleh dikategorikan sebagai penggunaan perniagaan jika menjadi pengangkutan utama penduduk.
“Jika kenderaan itu digunakan sebagai pengangkutan utama penduduk seperti kereta sewa atau kereta tambang di kawasan pedalaman, ia boleh memohon SKDS,” katanya.
Amir Hamzah berkata kerajaan akan terus menilai cadangan dikemukakan bagi memastikan subsidi diesel bersasar memenuhi keperluan sebenar rakyat tanpa menjejaskan matlamat mengurangkan ketirisan subsidi.


