Seorang pesakit menunjukkan stoma, iaitu lubang untuk membolehkan seseorang bernafas selepas pembedahan buang peti suara.
KUALA LUMPUR: Detik persaraan pada usia 63 tahun sepatutnya menjadi masa paling damai buat Kamaruzaman Abdul Rahim bersama isteri, dua anak dan cucu — bebas berbual, bergurau senda dan bermain mesra.
Kamaruzaman Abdul Rahim.
Malangnya, nikmat suara teragut apabila beliau disahkan menghidap kanser peti suara, menyebabkan dia terpaksa bergantung kepada alat khas untuk bertutur dengan orang tersayang.
Keperitan ini menjadi lebih tragis kerana Kamaruzaman bukan seorang perokok. “Saya memang terkejut bila dapat tahu. Sebab saya terpaksa lalui benda yang saya tak pernah buat. Sepatutnya kanser ini perokok atau orang yang minum alkohol, tapi kedua-duanya saya tak lakukan.”
“Saya dan ahli keluarga memang bukan daripada kalangan perokok. Ia mungkin berpunca daripada faktor persekitaran seperti rakan-rakan atau kakitangan di tempat kerja,” katanya kepada FMT.
Penderitaan beliau bermula pada usia 57 tahun, apabila menyedari suaranya mula serak melebihi dua minggu dan semakin perlahan.
Pemeriksaan lanjut mendapati kanser tersebut sudah berada pada tahap dua. Beliau menjalani pembedahan laser namun sel kanser menular semula, memaksa doktor membuang seluruh peti suara.
Kamaruzaman tidak mahu derita menakluk dirinya, memilih untuk terus tabah dengan sokongan orang sekeliling.
“Saya tidak rasa tertekan dan menerima keadaan ini secara ikhlas kerana kekuatan sokongan daripada keluarga, rakan dan doktor,” ujarnya yang kini memberi sokongan kepada golongan senasib sebagai presiden Malaysian Laryngectomees Association (MLA).
Kesan kanser peti suara kepada pesakit
Dr Nadhirah Mohd Shakri dari Jabatan Otorinolaringologi-Surgeri Kepala dan Leher di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia berkata rokok diketahui mengandungi bahan kimia yang boleh merangsang pembentukan sel kanser.
Dr Nadhirah Mohd Shakri menunjukkan perbandingan antara peti suara normal (kanan) dan peti suara yang mempunyai sel kanser.
“Kebanyakan pesakit sama ada mereka perokok ataupun perokok pasif. Kita ada pesakit yang tidak pernah merokok tetapi terdedah kepada asap rokok daripada suami atau rakan sekerja, dan akhirnya turut mendapat kanser peti suara.
“Selain rokok, trend semasa kini melibatkan vape. Tapi, rokok sememangnya sudah diketahui mengandungi bahan kimia seperti formaldehyde dan sebagainya yang boleh merangsang pembentukan sel kanser,” katanya.
Menurut Nadhirah, kanser yang dikesan awal melalui gejala suara serak masih boleh dirawat dengan laser atau radioterapi tanpa pembedahan membuang peti suara.
Bagaimanapun, jika pesakit lambat dirawat hingga ketumbuhan membesar dan mengganggu pernafasan, leher mereka terpaksa ditebuk bagi memasukkan tiub ke trakea sebelum seluruh peti suara dibuang.
Apabila organ itu dibuang, pesakit akan kehilangan fungsi percakapan, kebolehan menelan secara normal selain terpaksa bernafas sepenuhnya melalui lubang pada leher yang dipanggil stoma.
Nadhirah mengingatkan kanser peti suara sering berlaku tanpa rasa sakit, menyebabkan ramai pesakit tidak menyedari mereka sedang berdepan penyakit berbahaya sehingga terlambat mendapatkan rawatan.
“Kalau suara serak lebih daripada dua minggu, jangan anggap perkara biasa. Jumpa pakar kerana hanya pemeriksaan menggunakan skop boleh melihat keadaan sebenar peti suara,” katanya.
Derita tak terucap
Bagi Latib Rabu, 72, bekas perokok tegar yang pernah menghisap sehingga 60 batang rokok sehari, beliau mengalami tekanan emosi yang teruk selepas disahkan menghidap kanser peti suara.
Latib Rabu.
“Saya hisap rokok sejak masuk universiti pada tahun 1972 sampai 2015. Ketika itu, hisap rokok sudah jadi macam trend, satu perkara biasa.
“Selepas doktor sahkan ada kanser ini, memang saya jadi tertekan. Hampir beberapa bulan, saya sukar menerima hakikat,” katanya yang terus berhenti merokok selepas menerima diagnosis.
Bekas jurutera mekanikal di sebuah syarikat swasta itu meletakkan jawatan serta-merta bagi memberi tumpuan kepada rawatan dan pembedahan membuang peti suara.
Selepas pembedahan tersebut, dunia Latib menjadi sepi selama tiga bulan sebelum beliau bertutur semula menggunakan elektrolaring, alat khas yang menghasilkan suara yang kedengaran seperti suara robot.
Lim Eng Chuan.
Pengalaman serupa dilalui Lim Eng Chuan, 63, yang merokok sejak usia 21 tahun. Ironinya, selepas hampir 10 tahun meninggalkan tabiat buruk tersebut, bapa kepada dua anak itu disahkan menghidap kanser peti suara.
Walaupun berjaya menjalani rawatan pada peringkat awal, sel kanser itu kembali menyerang sehingga memaksa doktor membuang keseluruhan peti suara pada tahun 2018.
“Tapi ia tidak berhenti di situ. Kanser datang lagi kali ketiga di bahagian trakea dan ada sikit di paru-paru bersaiz 3cm. Jadi saya perlu buat rawatan radiasi dan kemoterapi serentak, memang seksa,” katanya.
Terbaharu, pada Januari 2026, Lim diserang sel kanser buat kali keempat dan kini dalam proses rawatan untuk menjalani enam sesi kemoterapi.
Lantaran ujian perit yang dilalui, mereka menitipkan pesanan kepada generasi muda agar menjauhi tabiat merokok dan vape kerana ia merupakan racun nyata yang merosakkan tubuh.


