Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung berkata laporan itu juga perlu menekankan implikasi kewangan dan tindakan pembetulan sedang diambil. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Lee Chean Chung dari PKR meminta kerajaan Selangor segera mendedahkan hasil siasatan ke atas pelanggaran data aplikasi Flexi Parking, termasuk punca dan skop kebocoran.
Ahli Parlimen Petaling Jaya itu berkata, laporan berkenaan juga perlu menekankan implikasi kewangan dan tindakan pembetulan sedang diambil.
“Jika ketelusan sedemikian tidak dapat dicapai, Adun Selangor perlu meminta Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor mengadakan pendengaran awam berhubung perkara itu.
“Siasatan yang telus dan profesional perlu bagi mengenal pasti kelemahan, memperkukuhkan pengawasan dan memulihkan keyakinan orang ramai,” katanya dalam kenyataan.
Tegasnya, pelanggaran data itu bukan hanya membabitkan kehilangan hasil parkir, tetapi turut melibatkan kemungkinan data peribadi rakyat dikompromi.
Katanya, pihak berkuasa berkaitan perlu memberi penjelasan kepada orang ramai memandangkan beliau pernah membangkitkan kebimbangan berhubung penswastaan infrastruktur digital awam.
Lee berkata, pelanggaran itu perlu dijadikan amaran kerana keselamatan siber bukan sekadar isu teknologi maklumat, tetapi turut menyentuh soal kepercayaan awam, tadbir urus dan akauntabiliti kerajaan.
“Apabila rakyat dikehendaki menaruh kepercayaan maklumat peribadi dan transaksi harian mereka dalam sistem digital berkaitan kerajaan, kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan kepercayaan itu tidak dipandang ringan.”
Aplikasi telefon Smart Selangor Parking dan Flexi Parking tergendala pada Selasa lalu, menyebabkan pemandu tidak dapat membayar caj parkir.
Gangguan sistem itu turut menjejaskan aplikasi pembayaran parkir digital di 64 pihak berkuasa tempatan seluruh negara. Ia mula beroperasi semula semalam.

