Ahli keluarga menunjukkan gambar R Arun Kumar yang meninggal dunia dalam kejadian 21 Mei lalu.
KLUANG: Tidak mahu tragedi berdarah meragut nyawa anaknya berulang di Pekan Nanas, Pontian, keluarga R Arun Kumar menggesa pihak berkuasa dan pemimpin setempat mengambil tindakan lebih agresif membanteras kegiatan jenayah yang didakwa semakin mengancam keselamatan penduduk.
Ibu mangsa, K Devi, 52, berkata pemergian anak lelakinya yang berusia 22 tahun dalam serangan di hadapan sebuah kedai makan pada 21 Mei lalu seharusnya menjadi titik perubahan dalam usaha membanteras jenayah.
“Kami tidak mahu ada keluarga lain menerima nasib seperti kami. Jangan tunggu ada lagi nyawa melayang baru hendak bertindak. Pekan Nanas mesti dibersihkan daripada kegiatan kongsi gelap,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, walaupun tujuh individu didakwa atas pertuduhan membunuh, keluarganya masih bimbang berikutan difahamkan kemungkinan ada suspek masih bebas.
“Kami berharap polis terus memburu semua yang terbabit sehingga diberkas,” katanya.
Devi berkata, anaknya seorang yang pendiam, penyayang dan mengutamakan keluarga, selain tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian.
“Kalau benar ada dendam sekalipun, kenapa bunuh anak saya? Kehilangannya memusnahkan impian kami sekeluarga,” katanya.
Keluarga mangsa turut menggesa wakil rakyat turun padang mendengar kebimbangan penduduk dan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang.
Pada 4 Jun lalu, tujuh lelaki didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama kerana membunuh, yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Tiga lagi suspek yang ditahan sebelum ini dibebaskan dan dijadikan saksi pendakwaan dengan bon bawah Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah.
Terdahulu, Pemangku Ketua Polis Johor, Hoo Chuan Huat, dilaporkan berkata motif kes bunuh tersebut dipercayai mempunyai kaitan elemen kumpulan kongsi gelap termasuk kegiatan merekrut ahli baharu.


