Puad Zarkashi sering mengkritik Onn Hafiz Ghazi sejak pengumuman calon BN, pada minggu lalu.
BATU PAHAT: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor Onn Hafiz Ghazi berkata serangan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi terhadap Umno dan dirinya tidak menjejaskan sokongan kepada parti khususnya di DUN Rengit.
Beliau menyifatkan kenyataan Puad termasuk dakwaan terhadapnya mengelak berdebat serta menggesa pengundi Rengit menangguhkan sokongan kepada BN sebagai pandangan peribadi semata-mata.
“Majoriti penduduk di sini tak ikut pun (gesaan Puad),” katanya selepas menyampaikan amanat kepada jentera BN di Rengit.
Semalam, Puad mendakwa Onn Hafiz ‘takut’ berdebat dengan Maszlee Malik selepas pengerusi BN Johor itu berkata debat bukan pendekatan sesuai dalam budaya politik negeri berkenaan.
Puad berkata alasan ‘bertikam lidah’ atau berdebat bukan cara Johor tidak wajar digunakan untuk menolak cadangan itu.
Terbaru hari ini, Puad menggesa pengundi di kawasan itu menangguhkan sokongan kepada BN sehingga kerajaan Johor menyelesaikan isu bekalan air dan benteng pecah di Kampung Berong Lau.
Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata beliau memahami perjuangan yang dibawa Puad, namun menegaskan perjuangan parti tidak seharusnya berlandaskan kepentingan individu tertentu.
Beliau turut membandingkan situasi itu dengan sikap bekas Adun Rengit, Ayub Jamil yang menurutnya tidak pernah merajuk atau mengkritik parti walaupun tidak dicalonkan sebelum ini.
“Kita tahu apa yang dia nak perjuangkan ialah anak dia. Namun perjuangan ini bukan tentang mana-mana individu. Dia nak serang saya, dia seranglah,” katanya.

