Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tetap 8 Okt ini bagi pendengaran permohonan batal saman pemula ke atas lima Ahli Parlimen dan permohonan merujuk persoalan Perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan mengenai ART.
PETALING JAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan Malaysia memfailkan permohonan membatalkan saman pemula lima Ahli Parlimen pembangkang berhubung Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS).
Peguam Persekutuan Mohammad Sallehuddin Md Ali, memaklumkan perkara itu kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada pengurusan kes di hadapan Hakim Azizan Md Arshad.
Sementara itu, seorang daripada peguam mewakili plaintif, P Waythamoorty memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya turut memfailkan satu permohonan bagi merujuk persoalan Perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan berkaitan ART.
Mahkamah kemudian menetapkan 8 Okt depan untuk pendengaran kedua-dua permohonan itu, lapor Bernama.
Pada 20 Feb lalu, Mahkamah Agung AS memutuskan penggunaan kuasa darurat oleh Presiden Donald Trump untuk mengenakan tarif timbal balas terhadap hampir semua rakan dagangan AS adalah tidak berpelembagaan.
Selain mengekalkan keputusan mahkamah rendah, mahkamah tertinggi itu memutuskan Trump telah bertindak melampaui kuasa presidennya apabila beliau menggunakan Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa 1977 (IEEPA) untuk mengenakan tarif global secara meluas serta duti berkaitan fentanil yang dikenakan ke atas barangan dari China, Kanada dan Mexico.
Malaysia dan AS telah memeterai ART pada 26 Okt 2025.
Lima Ahli Parlimen Perikatan Nasional yang memfailkan saman berkenaan ialah Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Fathul Huzir Ayob (Gerik), Awang Solahuddin Hashim (Pendang), Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), dan Abdul Khalid Abdullah (Rompin).
Mereka memohon Mahkamah Persekutuan memutuskan persoalan penting mengenai kesahan perjanjian itu, yang didakwa ditandatangani tanpa kelulusan sewajarnya daripada Parlimen.


