Gambar pasukan keselamatan tentera udara memeriksa empat jurukamera tular di media sosial. (Gambar X)
KUANTAN: Tentera udara mengesahkan gambar tular di media sosial yang memaparkan empat warga asing diperiksa pasukan keselamatan, pada hari terbuka di Pangkalan Udara Kuantan, semalam.
Pemeriksaan itu dilakukan ketika pasukan keselamatan melaksanakan rondaan dan mendapati keempat-empat individu berkenaan menghampiri had kawasan yang dikhususkan untuk pengunjung awam.
“Hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang unsur yang boleh menjejaskan keselamatan atau integriti pangkalan. Pemeriksaan ke atas peralatan kamera serta telefon bimbit mereka juga tidak menemukan sebarang bahan yang mencurigakan,” menurut kenyataan.
Tentera udara menjelaskan pemeriksaan keselamatan secara rawak adalah tatacara operasi standard (SOP) yang dilaksanakan sepanjang program melibatkan orang awam.
Terdahulu, tular satu gambar di media sosial memaparkan empat jurukamera ditahan anggota tentera udara kerana menghampiri kawasan larangan.


