Ahli Parlimen Rosol Wahid ditemui pemberita selepas mesyuarat di ibu pejabat PAS malam tadi.
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Ahli Parlimen pembangkang di ibu pejabat malam tadi tidak membincangkan penyingkiran Bersatu daripada Perikatan Nasional (PN), menurut seorang peserta.
“Isu nak keluarkan Bersatu dalam PN tak dibincangkan,” kata Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Rosol Wahid, kepada pemberita selepas mesyuarat.
Para wakil rakyat yang ditemui pemberita bercakap tentang kempen Perikatan Nasional (PN) menghadapi PRN Johor dan Negeri Sembilan, serta kedudukan ketua pembangkang.
Rosol memaklumkan bahawa mesyuarat membincangkan persiapan untuk pembukaan Parlimen. Menurut takwim Parlimen, mesyuarat kedua bagi penggal ke-5 Parlimen ke-15 akan bersidang dari 22 Jun sehingga 16 Julai.
“Kita bincang kedudukan ketua pembangkang, hala tuju PRN, soal tukar kedudukan kerusi dalam Parlimen tak bincang lagi, semua setuju Hamzah Zainudin kekal ketua pembangkang,” tambahnya.
Selain wakil rakyat PAS dan Rosol, turut hadir pada mesyuarat Ahli Parlimen malam ini adalah Hamzah (Larut), Ronald Kiandee (Beluran), Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), dan Abdul Khalib Abdullah (Rompin).
Mesyuarat malam ini menjadi perhatian di sebalik cakap-cakap bahawa perbincangan akan menyentuh kedudukan Bersatu dalam PN.
Nasib Bersatu menjadi persoalan, susulan terhentinya kerjasama politik dengan PAS.
Seorang pemimpin PAS yang minta tidak dinamakan menolak dakwaan mesyuarat itu akan menentukan kedudukan Bersatu dalam PN, memandangkan hal itu memerlukan keputusan bersama parti komponen, maka ia akan dibincangkan di peringkat majlis tertinggi gabungan.


