Suspek berusia 24 tahun ditahan di depan Hospital Tuanku Ja’afar di Seremban pada 10.55 malam tadi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Seorang lelaki yang baru dua bulan berkahwin direman seminggu selepas disyaki mendera anak tirinya berusia dua tahun 11 bulan sehingga cedera.
Ketua Polis Seremban, Yatim Osman, berkata suspek 24 tahun itu ditahan di depan Hospital Tuanku Ja’afar di Seremban pada 10.55 malam tadi selepas menerima laporan daripada isterinya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku dalam kereta di sebuah stesen minyak di Jalan Seremban menghala Jelebu.
“Siasatan awal juga mendapati mangsa sering dipukul suspek sehingga cedera semasa berada di rumah di Jalan Rasah,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan fizikal ke atas mangsa mendapati terdapat kesan lebam di bahagian depan dan belakang badan mangsa yang dipercayai akibat dicubit.
Katanya, mangsa yang dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar kini ditahan dalam wad untuk rawatan lanjut.
“Suspek dan pengadu baru mendirikan rumah tangga April lalu,” katanya sambil menambah suspek tiada rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencingnya negatif dadah.
Jelasnya, suspek direman tujuh hari sehingga 20 Jun ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi bilik gerakan IPD Seremban di talian 06-6033222.

