Naib Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu menyifatkan tindakan PN berteka-teki dan belum ambil ketetapan memberi ruang kepada pihak lawan menjelang PRN Johor. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Bersatu bertindak bergerak dahulu bersama parti komponen Perikatan Nasional (PN) dan Ikatan Prihatin Rakyat (IPR)
pada PRN Johor susulan kelewatan pimpinan tertinggi PN belum bermesyuarat merangka strategi.
Naib Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu, berkata Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar masih belum memanggil mesyuarat gerak kerja jentera PRN16 Johor sehingga kini walaupun sudah lebih dua minggu DUN Johor dibubarkan.
Katanya, parti tidak boleh menunggu ‘isyarat PAS’ kerana sebarang kelewatan berisiko memberi ruang pihak lawan mendapat kelebihan.
“Bersatu sudah menggerakkan jentera dan turun padang, malah Setiausaha Agung Azmin Ali mulai menjelajah ke seluruh Johor dan Negeri Sembilan.
“Kita bergerak bersama parti komponen lain dan jika PN masih berteka-teki dan belum mengambil ketetapan sehingga boleh memberi ruang kepada pihak lawan, itu cara mereka.
“Kita tidak boleh menunggu pihak lain,” katanya kepada Berita Harian.
Ahmad Faizal berkata, Bersatu juga sudah memulakan perbincangan dan menggerakkan jentera bersama Muda dan Pejuang.
Kemelut PN terus berlarutan selepas komponen utama, PAS memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu, kemudian disusuli kenyataan Presiden PAS Hadi Awang yang mengumumkan Parti Wawasan Negara (Wawasan) pimpinan Hamzah Zainudin akan dibenar menggunakan logo PN bertanding pada PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Hamzah merupakan bekas timbalan presiden Bersatu yang dipecat.
PRN Johor dijadualkan 11 Julai depan, manakala 1 Ogos untuk pengundian di Negeri Sembilan.


