Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berkata Putrajaya mempunyai kewajipan berunding dengan Majlis Kewangan Negara berhubung pemberian kewangan kepada negeri.
PETALING JAYA: Sebarang pertikaian berhubung pemberian kewangan oleh kerajaan persekutuan kepada Johor boleh dirujuk kepada Majlis Kewangan Negara seperti diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan, kata Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim.
Menurutnya, Putrajaya tidak bertindak sewenang-wenangnya dalam menyalurkan bantuan kewangan kepada negeri, yang tertakluk kepada undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.
“Sekiranya mana-mana kerajaan negeri tidak berpuas hati, Perlembagaan Persekutuan menyediakan peruntukan undang-undang supaya perkara itu dirujuk kepada Majlis Kewangan Negara.
“Kerajaan persekutuan juga mempunyai kewajipan berunding dengan majlis itu berhubung pemberian yang dibuat kepada negeri,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, bertitah Johor menyumbang lebih RM40 bilion setahun kepada kerajaan persekutuan, tetapi hanya menerima sekitar RM2 bilion hingga RM3 bilion untuk memenuhi keperluan hampir lima juta penduduknya.
Baginda bertitah, sekurang-kurangnya 25% hingga 30% hasil dikutip dari Johor wajar dikembalikan kepada negeri itu bagi membolehkan lebih banyak projek pembangunan dan kebajikan rakyat dilaksanakan.
Hassan berkata, Perkara 109(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan pemberian tahunan kepada negeri berdasarkan formula ditetapkan, manakala Perkara 110(1) pula membolehkan negeri menerima hasil daripada cukai, fi dan sumber hasil tertentu.
Katanya, kerajaan negeri yang dibentuk selepas PRN Johor boleh membawa isu berkaitan pemberian kewangan persekutuan ke Majlis Kewangan Negara, jika merasakan ada perkara yang perlu dipertimbangkan.

